Bayi Permata Maulidur Rasul - Ahmad Razif

KUALA TERENGGANU - Seramai 31 bayi ‘Permata Maulidur Rasul’ lahir di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam bersamaan dengan tarikh kelahiran Nabi Muhammad SAW iaitu pada 12 Rabiul Awal.

Daripada jumlah itu, 17 daripadanya adalah bayi lelaki manakala selebihnya perempuan.

Bagi meraikan kelahiran bayi berkenaan, Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman bersama isteri, Toh Puan Harlina Zakaria meluangkan masa hampir setengah jam melawat mereka di hospital berkenaan.

Menurut Ahmad Razif, bayi bertuah itu merupakan antara lebih 100 bayi yang lahir di Terengganu bermula 1 Januari lalu dan merupakan ‘perintis’ iaitu akan dihadiahkan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i).

“Ia sebagai jaminan pembelajaran dan persiapan awal pendidikan pada masa depan. Selain itu, ia bagi menggalakkan ibu bapa menabung bagi memberi jaminan kepada anak-anak mereka,” katanya.

Sementara itu, seorang bayi lelaki seberat 2.8 kilogram yang lahir jam 8.03 malam kelmarin merupakan bayi pertama yang lahir pada 12 Rabiul Awal di hospital berkenaan.

Ibunya, Ermadilla Awang, 25, berkata, dia dan suami, Shamsul Amri Shahir, 28, tidak menyangka bayi sulung itu berkongsi tarikh istimewa itu.

“Saya dijangka bersalin pada 5 Januari, tetapi tidak sangka pula bersalin dua hari lebih awal. Lebih istimewa, saya melahirkan bayi sulung ini pada tarikh 12 Rabiul Awal.

“Pada mulanya saya menyangkakan bakal mendapat bayi tahun baru memandangkan saya mula dimasukkan ke wad pada 1 Januari lalu, namun kejutan lain pula yang saya terima,” katanya ketika ditemui pemberita.

Dia yang juga seorang pembantu klinik di Besut berharap akan dapat membesarkan anaknya itu dengan memberikan pendidikan yang sempurna dan menjadi insan berguna apabila dewasa nanti.
TAG