Dilemaskan Dengan Mengikat Kaki dan Tangan Dengan Batu


RANTAU PANJANG – Seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan menyayat hati apabila tangan, kaki dan perutnya diikat dengan tali, sebelum dibenamkan ke Sungai Golok dengan batu.

Ketua Polis Pasir Mas, Asisten Haliludin Rahim berkata, siasatan awal mendapati, mangsa ditemui di dasar sungai dekat Pengkalan Haram Tok Ayah, jam 7.42 petang oleh anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang membuat rondaan sempadan.

Menurutnya, mangsa dianggarkan berusia 20 hingga 30 tahun, ditemui tidak memakai baju dan hanya berseluar jeans.

“Kita menghadapi sedikit cabaran ketika menarik mangsa ke daratan, namun disebabkan faktor keselamatan dan keadaan tempat kejadian yang gelap, kita terpaksa memotong tali yang terikat pada batu.

“Kita masih menyiasat punca kehilangan cuping telinga kanan. Selain itu, tiada kecederaan lain dilaporkan,” katanya yang mengesahkan polis tidak menemui dokumen pengenalan diri pada mangsa.

Setakat ini, polis belum menerima sebarang laporan mengenai kehilangan ahli keluarga di sini.

Haliludin berkata, pihaknya masih menunggu keputusan bedah siasat mangsa bagi mengetahui punca kematian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan