Hanya Tinggal Pakain INI Sahaja Kata Warga Emas ...

Dua warga emas tinggal sehelai sepinggang apabila rumah diduduki mereka sejak 50 tahun lalu sekelip mata hangus dalam kebakaran di Kampung Batu Caves di sini, semalam.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.30 pagi itu, rumah Abdullah Mohd Said, 74, yang tinggal bersama isterinya, Salbiah Othman, 64, musnah bersama tiga unit lain terletak bersebelahan.

Menceritakan kejadian, Abdullah berkata, dia tersedar selepas terdengar bunyi bising di luar rumahnya.

“Bila saya buka pintu depan, terus nampak api marak dekat rumah jiran yang beberapa meter saja dari saya. Saya masuk semula ke dalam untuk mengejutkan isteri dan ambil dokumen penting.

“Kami terlalu terkejut dan terpinga-pinga sebelum disedarkan jiran yang menjerit mengarahkan keluar dari rumah melalui pintu belakang,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, dia terkilan kerana koleksi sijil dan anugerah yang diterima hangus sekelip mata.

“Dalam RM120,000 juga jumlah kerugian kerana tak sempat selamatkan apa-apa barang memandangkan keadaan kesihatan yang tak mengizinkan dan hanya memikirkan cara menyelamatkan diri.

“Jiran-jiran ada juga cuba bantu, tapi tenaga terhad dan air juga tak cukup kuat untuk padamkan api yang cepat marak disebabkan sebahagian rumah daripada kayu,” katanya.

Sementara itu, jiran mangsa, Latifah Ahmad, 57, lega kerana kebakaran tidak merebak ke rumahnya yang hanya dipisahkan beberapa meter dari lokasi kejadian.
TAG