LANCAR PERANG!!!! Kempen BOIKOT peniaga 
jual harga mahal DILANCAR


KUALA  LUMPUR 2 Feb. - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) akan melancarkan kempen boikot besar-besaran terhadap peniaga atau syarikat yang menjual barangan pada harga tinggi meskipun kos operasi telah jatuh berikutan penurunan harga petrol dan diesel berkuat kuasa Ahad lalu.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johanberkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan lebih 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menubuhkan pusat koordinasi yang akan menjadi rujukan pengguna untuk mengetahui mana-mana premis yang perlu diboikot.

Beliau berkata, pusat koordinasi itu juga akan dijadikan tempat untuk orang awam menyalurkan maklumat serta aduan mengenai peniaga yang menjual pada harga tinggi dan jika didapati benar, maklumat tersebut akan disebarkan melalui laman web serta laman sosial untuk diboikot.

“Pengguna di negara ini telah ditipu sejak berpuluh tahun lalu dengan menaikkan harga barang sesuka hati setiap kali harga minyak naik tetapi meskipun harga bahan api itu telah turun tiga kali sejak Disember tahun lalu, harga barang tetap tinggi.

“Kita tidak boleh mengharapkan kerajaan semata-mata tetapi pengguna mesti melindungi diri sendiri, inilah masanya kita ajar peniaga yang suka menipu untuk mengaut untung lebih,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Nadzim, tindakan drastik itu perlu memandangkan kenaikan harga barangan keperluan asas seperti makanan kini semakin tidak terkawal meskipun kerajaan telah berusaha menjalankan langkah-langkah sewajarnya.

Katanya, peng­usaha-pengusaha restoran turut tidak terlepas daripada diboikot sekiranya mereka gagal menurunkan harga makanan dan minuman yang sebelum ini dinaikkan atas alasan harga minyak mahal.

“Sekarang ini, ada yang menjual segelas teh ais pada harga RM2 yang harganya lebih mahal daripada seliter minyak begitu juga daun sup yang harganya boleh melambung daripada RM3 sekilogram kepada RM10.

“Kami akan memastikan kempen boikot ini dilakukan bersama-sama untuk memastikan pengguna yang mempunyai kuasa pendesak sentiasa dihormati. Kalau tiada tindakan, saya yakin 10 kali harga minyak turun pun, peniaga tetap tidak akan menurunkan harga,” tambahnya
TAG