Penyakit Misteri Perut Semakin Membesar....



Munah Abdullah menunjukkan keadaan perutnya yang membusung di rumahnya di penempatan Felda Tenang Hulu Besut, Terengganu, semalam. –utusan/Kamaruddin Hamzah
Advertisement

BESUT 31 Jan. – Lebih 10 tahun lalu, Munah Abdullah, 61, dikatakan mengandung lagi.

Ia satu perkhabaran yang cukup menggembirakannya dalam usianya yang semakin lanjut, apatah lagi anak tunggalnya sudah berusia belasan tahun.

Dia diberikan kad rawatan mengandung, namun tiga bulan kemudian apabila perutnya semakin membesar, ujian imbasan yang dijalankan tidak menunjukkan sebarang imej dalam kandungannya.
Advertisement

“Bagaimanapun keadaan perut saya ini dikatakan tiada kaitan dengan mengandung dan kad yang diberikan itu diambil semula oleh pihak klinik.

“Saya hairan kerana dapat merasakan ada pergerakan ketika ‘kandungan’ berusia sekitar lima bulan, namun apabila sampai tempoh sepatutnya, tidak juga bersalin dan perut saya makin membesar,” ujarnya.

Sejak tiga tahun lalu perutnya terus membusung dan tegang, manakala urat-urat tersembul sehingga fizikalnya makin lemah, memaksanya 'berkurung' di dalam rumah.

Keadaan itu mula menyukarkan untuknya bergerak, menguruskan keperluan harian dan memerlukan bantuan suaminya, Awang Abdullah, 65, serta anak tunggal mereka, Zulkifli, 27, yang baru menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Ketika ditemui di rumahnya di penempatan Felda Tenang di sini hari ini, Munah yang terlantar akibat terjatuh beberapa minggu lalu memberitahu, sepanjang keadaan perutnya yang membesar itu, dia sudah acap kali ke klinik, pusat kesihatan dan hospital untuk mendapat rawatan.

Namun, keadaan perutnya tidak berubah dan mendakwa tidak mendapat jawapan sebenar tentang penyakit yang dihadapi.

Keluarganya juga sudah banyak berbelanja untuk mendapatkan pelbagai kaedah rawatan secara tradisional sebagai alternatif tetapi tidak berhasil manakala suaminya pula masih keberatan untuk membawanya rawatan susulan di hopsital atas alasan bimbangkan keselamatannya.

Menyifatkan kepayahan yang dilalui kini sebagai suatu dugaan, dia masih berharap ada pihak yang sedia membantu agar penyakit yang dideritainya dapat diubati atau dikurangkan.

Munah memberitahu, sebelum 'insiden mengandung' berlaku, suatu hari dia dan keluarga pergi berkelah di satu kawasan hutan lipur dan semasa di sana, dia ternampak imbasan seorang lelaki berpakaian serba putih di hadapannya ketika membuang air kecil di satu kawasan semak berhampiran aliran sungai.

“Ketika kami hendak balik, kaki saya menjadi berat dan tidak dapat melangkah, lalu terpaksa berhenti kira-kira setengah jam. Bermula dari hari itu, hampir setiap malam, lelaki itu datang dalam mimpi mengajak saya ke tempatnya.

“Ketika kandungan mencapai 12 bulan, saya mimpi bersalin dan lelaki itu bertanyakan sama ada saya ingin mengikutnya atau suami, saya jawab ikut suami dan dia tidak datang lagi (dalam mimpi),” ujarnya.
TAG