Ustaz Kazim Nafi Beliau Rasis - Cina Rasis Bagaimana?

Pendakwah terkenal Datuk Mohamad Kazim Elias menafikan dakwaan bahawa beliau rasis dan mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dalam rakaman video ceramahnya yang disebarkan, baru-baru ini.

Beliau berkata isi kandungan ceramah di Kuala Lumpur enam tahun lepas itu, bertujuan mempertahankan kedudukan Raja-Raja Melayu, keistimewaan orang Melayu dan kedudukan Islam sebagai agama rasmi yang sering dipertikai pihak tertentu.

"Si pengadu tidak faham apa yang saya cakap atau dia hanya faham dua minit itu, dia tidak melihat sebelum dan selepas dari dua minit," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohamad Kazim yang lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim, berkata adalah menjadi kewajipan beliau sebagai seorang Muslim mempertahankan kesemua perkara itu (kedudukan Raja-Raja Melayu, keistimewaan orang Melayu dan kedudukan Islam sebagai agama rasmi) kerana ia sesuatu yang dituntut oleh Islam.

Beliau berkata isu itu sengaja ditimbulkan bagi menutup isu lain yang sedang hangat diperkatakan seperti hudud dan pelaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT), yang diperjuangkan pembangkang.

"Saya bukan hendak bertelagah atau bergaduh...dia (individu yang membuat laporan polis) buat tuduhan melulu. Isu ini telah lapuk, kira-kira enam tahun lepas dan sengaja ditimbulkan balik.

"Saya bukan orang politik, saya bukan orang yang terlibat dalam mana-mana parti politik, hanya bercakap atas soal agama tetapi saya dituduh dan diganggu," katanya.

Mohamad Kazim juga melihat dakwaan itu sebagai satu usaha untuk menyekat kemunculan beliau menyampaikan ceramah di khalayak ramai.

Terdahulu, kira-kira 500 anggota daripada 22 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhimpun secara aman di Dataran Pusat Pendidikan Al-Barakah di sini.

Antara NGO itu ialah Majlis Ayahanda-Ayahanda Perak, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Perak, Pusaka Gayong Perak dan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida).

Mereka membawa sepanduk dan kain rentang menyatakan sokongan padu kepada pendakwah terkenal itu, yang mempertahankan agama Islam dan hak keistimewaan orang Melayu.

Semalam, Mohamad Kazim membuat laporan di Balai Polis Manjoi berhubung penyebaran rakaman video ceramah beliau yang didakwa berbaur perkauman.

Isnin lepas (2 Feb), Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Jambu, Tumpat, Kelantan Pui Tiong Lam membuat laporan di Balai Polis Wakaf Bharu, Tumpat kerana mendakwa rakaman video ceramah Ustaz Kazim yang berdurasi 2 minit 27 saat, seolah-olah mahu mengaibkan kaum Cina.
TAG