PERUTUSAN KHAS PENGERUSI BADAN PERHUBUNGAN UMNO TERENGGANU

YANG AMAT BERHORMAT DATO' SERI HAJI AHMAD RAZIF BIN ABDUL RAHMAN

PENGERUSI BADAN PERHUBUNGAN UMNO NEGERI TERENGGANU

SEMPENA ULANG TAHUN KE-69 UMNO

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, salam 1 Malaysia dan salam Transformasi Terengganu Baharu.

Syukur Alhamdulillah kita dapat menyambut hari ulangtahun kelahiran UMNO yang ke-69 pada hari ini. Kita bersyukur ke hadrat Allah SWT dan berterima kasih kepada rakyat kerana di kala dan ketika kita menyambut tarikh keramat 11 Mei ini kita masih menjadi parti pemerintah yang mendapat kepercayaan dan diyakini orang-orang Melayu dan Bumiputera khasnya serta rakyat Malaysia amnya.

Kepercayaan dan keyakinan ini bukan wujud secara semula jadi tetapi dimenangi serta dipupuk hasil keikhlasan dan iltizam perjuangan generasi kepimpinan dan ahli UMNO silih berganti. Ia tidak mungkin berterusan tanpa kemampuan kepimpinan dan ahli-ahli UMNO untuk terus merasai denyut nadi rakyat serta mendokong aspirasi mereka.

Lahirnya UMNO adalah hasil dari percantuman pertubuhan-pertubuhan Melayu dengan berbagai aliran falsafah dan pendapat tetapi bersetuju mengambil tindakan bersama demi survival bangsa Melayu. Pertubuhan-pertubuhan ini dengan sukarelanya membubar diri masing-masing demi membuka jalan kepada sebuah parti politik yang ulung sebagai pernyataan hasrat semua golongan dan lapisan masyarakat Melayu bagi memperjuangkan hak-hak mereka. Penubuhan UMNO pada 11hb Mei 1946, dengan Dato' Onn bin Jaafar sebagai pemimpinnya yang pertama telah mengorak langkah dalam usaha membina penyatuan orang-orang Melayu di seluruh pelusuk negara.

Pada tahun 1955 bagi menghadapi pilihanraya umum yang pertama, Perikatan UMNO-MCA-MIC telah diwujudkan sebagai lambang permuafakatan dan kerjasama yang rapat antara kaum-kaum. Dengan pimpinan Tunku Abdul Rahman Putra, kemenangannya yang cemerlang telah diperolehi. Maka jelaslah kepada pihak penjajah bahawa kaum-kaum di Tanah Melayu adalah bersatu hati dan boleh merdeka.

UMNO ini tertubuh di atas pengorbanan harta benda, titisan keringat dan derita rakyat. Maka dengan ini marilah kita sama sama menghayati makna pengorbanan yang sebenar untuk survival agama, bangsa dan tanah air tercinta.

Merujuk kepada Perhimpunan Agung UMNO yang ke 13 , YAB Dato Seri Presiden mengharapkan dengan tegas agar semua ahli UMNO di segenap lapisan mengambil tindakan segera kepada beberapa perkara penting ini.

Yang pertama adalah Semangat Solidariti iaitu memperkemaskan perpaduan di antara pemimpin dengan pemimpin, pemimpin dengan ahli dan ahli dengan ahli.

Yang kedua ialah proses peremajaan UMNO. Proses ini haruslah diperkasakan. Apa itu peremajaan UMNO? Peremajaan bukanlah merujuk fizikal dan paras rupa, tetapi sebenarnya merujuk kepada semangat dan perjuangan kerana semangat dan perjuagan inilah yang akan menentukan kekuatan Parti UMNO.

Yang ketiga, lambang keris Lok 2314. Keris ini melambangkan ketuanan Melayu yang pantang diusik menerpa laju. Sementara Lok 2314 membawa maksud keiltizaman parti dan pucuk pimpinan tertinggi akan menguasai 2/3 kerusi parlimen pada pilihanraya umum (PRU) yang ke 14. Untuk maksud ini, marilah kita bergerak ke hadapan dengan tekad yang satu.

Dan seterusnya, frasa Transformasi yang ditekankan oleh Dato Seri Presiden mempunyai kaitan yang rapat dengan Transformasi Terengganu Baharu (TTB) yang dilancarkan oleh pucuk pimpinan kita.

Transformasi Terengganu Baharu (TTB) adalah gagasan pemikiran pentadbiran  negeri Terengganu  dibawah kepimpinan YAB Dato Seri  Haji Ahmad Razif Bin Abdul Rahman yang menggabungkan pemikiran tiga mantan Menteri Besar  sebeum ini yang membawa kepada cetusan idea ‘ Cara Lama, Dimensi Baru'.

UMNO adalah parti ulung orang Melayu. Oleh itu parti ini tidak lekang dari onak duri dan badai dalam perjuangan. Ramai dikalangan pemimpin dan ahli UMNO hari ini masih jauh tersasar dari matlamat perjuangan UMNO yang sebenar. Sikap berpuak-puak masih lagi menjadi amalan dikalangan segelintir barisan kepimpinan. Keadaan ini akan menjadi seperti pepatah orang lama ‘Sokong Membawa Rebah'.

Harapan kita UMNO akan berdiri teguh bersama harapan rakyat. Semangat Solidariti dan Transformasi harus menjadi agenda utama dalam perjuangan UMNO.  Tiada lain yang kita harapkan UMNO mesti menjadi ‘Juara Rakyat' di semua lapangan.

Akhir kata, Selamat Menyambut Ulangtahun UMNO Yang Ke 69.

Marilah kita sama-sama bertekad dan berazam dalam memperjuangkan agama, bangsa dan tanahair kita yang tercinta.

Bersatu, Bersetia, Berkhidmat

Sekian

TAG