#PRKROMPIN: PAS KETANDUSAN ISU DI SEMUA PRK


MUADZAM SHAH, 1 Mei (Bernama) -- Menjelang empat hari sebelum hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin, PAS mula memberi penekanan kepada masalah tempatan setelah hanya tertumpu kepada isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) dan Felda.

Sejak penamaan calon PRK pada 22 April lepas, parti pembangkang itu sentiasa membangkitkan isu Felda terutamanya mengenai skim perumahan untuk generasi keduanya.

Hari ini, buat pertama kalinya Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man membangkitkan masalah jambatan kayu berusia hampir 40 tahun di Kampung Lubok Batu, Bandar Tun Razak, yang didakwanya uzur.

"Jambatan itu merupakan penghubung antara penduduk Kampung Lubok Batu dengan Bandar Tun Razak untuk ke sekolah dan bagi membeli barangan keperluan," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim berharap kerajaan segera menaik taraf jambatan itu.

Mengenai kempen PRK itu, beliau berkata jentera PAS tetap memberi tumpuan utama terhadap pengundi di kawasan tanah rancangan Felda pada fasa akhir kempen.

Pengundi Felda merupakan 51 peratus daripada 53,294 pengundi PRK Rompin.

Tuan Ibrahim berkata PAS akan lebih mendekati pengundi Felda untuk mendengar masalah mereka yang bersifat lokaliti selain memperkenalkan calonnya, Nazri Ahmad yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Pahang.

Selain itu, katanya PAS akan menganjurkan dua program besar di Felda Keratong 6 pada Ahad ini.

"Himpunan pada pagi Ahad dianjurkan oleh Persatuan Anak Peneroka Felda manakala pada malamnya, PAS akan mengadakan himpunan membantah CBP di bandar Muadzam Shah," katanya.

PRK Parlimen Rompin menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Nazri dan calon Barisan Nasional Datuk Hasan Arifin berikutan kematian Tan Sri Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.

Seramai 460 pengundi awal atau 84.4 peratus daripada 545 pengundi awal menunaikan tanggungjawab mereka semalam dan sejumlah 52,744 lagi akan mengundi pada Selasa ini.

-- BERNAMA