Tahaaluf Siyaaasi Dengan DAP di Batalkan Dengan Sebulat SUARA - Muktamar PAS

Dewan Ulama PAS hari ini menerima dengan sebulat suara usul tergempar supaya kerjasama politik dengan DAP dibatalkan.

Namun usul yang dibawa oleh ahli jawatankuasa Dewan Ulama, Mokhtar Senik itu menyatakan PAS perlu kekal dalam Pakatan Rakyat untuk meneruskan perjuangan mereka.

"Menyedari DAP secara berterusan dan konsisten melakukan pelbagai provokasi terhadap kedudukan PAS dan Pakatan Rakyat

"Dewan Ulama PAS ke-54 mencadangkan kepada Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa PAS Pusat supaya hubungan kerjasama politik dengan DAP dibatalkan dan PAS terus kekal dalam Pakatan Rakyat,” katanya.

Usul berkenaan kemudian diterima tanpa bahas apabila 644 perwakilan bangun sebagai tanda bersetuju dengan laungan takbir.

Terdahulu perwakilan Perak, Nor Azli Musa ketika tampil untuk membahaskan usul berkenaan bagaimanapun berkata: “Saya tidak mahu berucap, tapi saya menyeru semua perwakilan dan pemerhati bangun sebagai tanda kita semua bersetuju dengan usul ini…takbir!"

Berikut Usul Tergempar Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat ke-54 yang bersidang pada 3 Jun 2015/16 Sya'ban 1436H  di KUIZM

Tahaaluf Siyaasi (Kerjasama Politik) Dengan DAP:

1. Menyedari bahawa DAP sebagai rakan kerjasama politik PAS menerusi Pakatan Rakyat secara rasmi telah memutuskan hubungan dengan Presiden PAS Pusat selaku ketua kepada parti.

2. Menyedari juga bahawa Pakatan Rakyat di Sarawak dan Sabah telah dibubarkan ekoran tekanan daripada DAP.

3. Menyedari bahawa DAP telah melangkaui batasan daripada hanya tidak bersetuju kepada menentang dan mengkritik secara lantang dan keras serta melobi ahli-ahli PAS untuk menolak usaha memperkasakan Kanun Jenayah Syariah II Kelantan yang telah dikanunkan 1993 sebelum penubuhan Pakatan Rakyat.

4. Menyedari bahawa DAP menerusi Lim Kit Siang dalam satu soalan rasmi ke Parlimen bertarikh 18 mei 2015 melakukan provokasi terhadap usaha PAS Kelantan untuk meminda perlembagaan bagi melaksanakan Undang-undang Jenayah Islam di Malaysia dengan cuba menyifatkannya sebagai bertentangan dengan semangat kenegaraan dan boleh memecah-belahkan negara.

5. Menyedari bahawa DAP secara konsistant dan berterusan menyerang Presiden PAS dengan pelbagai tohmahan dan kutukan.

6. Menyedari bahawa DAP secara berterusan dan konsistant melakukan pelbagai provokasi terhadap kedudukan PAS dalam PR.

7. Menyedari bahawa DAP telah gagal untuk berpegang kepada prinsip "setuju untuk tidak bersetuju" dalam prinsip dan perjuangan bersendiri setiap parti dalam Pakatan Rakyat seperti perjuangan untuk melaksanakan Undang-undang Jenayah Islam.

8. Menyedari bahawa antara syarat-syarat (kerjasama politik) dengan parti yang tidak berlandaskan Islam mestilah dijadikan wasilah untuk menegakkan Islam, memperkukuhkan kedudukan umat Islam serta membuka ruang untuk pelaksanaan Islam serta mestilah dipastikan dasar-dasar Islam dipertahankan.



TAG