UMNO Terengganu Akan Bergabung Dengan Pas Laksana Hukum Hudud

UMNO Terengganu bersedia bergabung dengan Pas dalam menguatkuasa hukum hudud , bagaimanapun perlu terlebih dahulu melihat kejayaan Kelantan berkaitan perlaksanaan hukum itu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu yang juga Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman berkata, untuk melaksanakan undang-undang hudud bukanlah semudah berkata-kata, faktor itu kita perlu melihat kejayaan Kelantan sebelum dikuatkuasa di Terengganu.

Katanya, kita mesti benar-benar memperhalusi perkara itu kerana ia akan melibatkan ramai pihak, khususnya rakyat dan jika tidak, ia akan mengundang konflik serta ketidakadilan terhadap rakyat.

“Ini kerana undang-undang Islam sebenarnya lebih kepada usaha pencegahan dan bukannya untuk menghukum manusia semata-mata,” katanya.

Menurutnya, selain bersedia melaksanakan hukum itu, Terengganu bakal menguatkuasa beberapa program pencegahan, termasuk menempatkan pesalah jenayah di Pondok Moden dalam tempoh tertentu atau bergantung kepada kesalahan yang dilakukan.

“Sepanjang menjalani hukuman, pesalah perlu mengikuti beberapa siri program keagamaan yang diselia guru berpengalaman ,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Agihan Kurma dan Air Zam-Zam Kepada Masjid dan Surau Parlimen Kuala Nerus di Quinara Al-Safir, Tok Jembal, Kuala Nerus, semalam.
Sumber : teganukita.my
TAG