LPT 3 KUALA TERENGGANU ke Pengkalan Kubor Di Teruskan

SYA_0393
Projek Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) yang bermula dari Gemuroh, Kuala Terengganu ke Pengkalan Kubor, Tumpat bakal diteruskan melihat pada kesesakan yang berlaku baru-baru ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata dengan kesesakan yang berlaku di persimpangan keluar Gemuroh, LPT3 merupakan jalan penyelesaian pada masalah tersebut.
“Kesesakan yang berlaku mungkin disebabkan oleh rakyat Kelantan turut menggunakan LPT 2 untuk pulang ke kampung halaman dan mereka tidak lagi menggunakan lagi Lebuhraya Gua Musang kerana ia dapat memendekkan perjalanan.
“Kita sudah mempunyai rekabentuk bagi pembinaan LPT3 dan dijangkakan kos bagi lebuhraya tersebut dalam 1.4 bilion jika dibina hingga ke Besut mankala 2.4 bilion untuk sampai ke Tumpat, Kelantan,” katanya kepada pemberita.
Beliau ditemui pada Majlis Penyampaian Surat Jemputan Tawaran Haji Bagi Program Khas Haji YAB Perdana Menteri 2015 di TH Hotel & Convention Centre, Kuala Nerus, hari ini.
SYA_0353
Dalam majlis tersebut, seramai 67 jemaah terdiri daripada imam serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) menerima surat tawaran tersebut.
Turut hadir, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Halina Zakaria, Penasihat Yayasan 1 Ummah, Dato’ Jailani Ngah dan Pegawai Pembangunan Kuala Nerus, Dato’ Basir Ismail.
Tambahnya, jika perkara tersebut tidak diatasi, kesesakan akan sering terjadi terutamanya pada musim perayaan.
“Buat masa sekarang, kerajaan negeri bersetuju jika peruntukan oleh kerajaan persekutuan sebanyak RM 1.8 bilion yang dibelanjakan dalam pembinaan LPT2 digunakan dahulu sementara bagi projek pembinaan LPT3.
“Walaupun demikian, masih terdapat syarat-syarat yang masih dibincangkan dengan kerajaan persekutuan untuk pembinaan LPT3 bagi membolehkan kerajaan negeri turut menerima manfaat,” katanya.
Lebuh Raya Pantai Timur dibuat secara berfasa yang mana fasa terakhir dan belum dimulakan lagi ialah LPT3 (Kelantan) sepanjang 147 kilometer bermula dari Gemuroh ke Tumpat, Kelantan