Mat Rempit Yang Di Tangkap Akan Dihantar Kelas Fardhu Ain Selama 3 Bulan -Sebagai Hukuman

MB Terengganu hantar Mat Rempit Ke sekolah Pondok..

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, golongan berkenaan akan ditempatkan di sekolah-sekolah pondok sekitar negeri ini selama tiga bulan untuk mengikuti kelas fardu ain sebagai satu ‘hukuman’ terhadap mereka.
Beliau memberitahu, mat rempit dikehendaki memakai jubah serta berkopiah sepanjang berada di sekolah pondok nanti.

“Kita serah pada polis untuk penguatkuasaan dan diambil tindakan. Saya masih bersabar dan serah pada polis untuk tambah anggota selain wujudkan pasukan khasnya.
“Mungkin kita akan hantar mereka (mat rempit) ke pondok-pondok dan duduk di sana selama tiga bulan untuk belajar fardu ain sambil memakai jubah dan kopiah. Kita mungkin akan buat dan kita sedang lihat perkara ini,” katanya.
Beliau berucap dalam majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Untuk Perantauan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan di kediaman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu, A. Latiff Awang di Kampung Binjai Rendah dekat sini malam tadi.
Yang turut hadir isterinya, Toh Puan Seri Halina Zakaria; Ahli Dewan Negara yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Marang, Toh Puan Zaitun Mat Amin serta Pengerusi Golden Pharos Berhad, Datuk Abdul Rahman Bakar.
Ahmad Razif berkata, tindakan tegas ke atas mat rempit akan dilakukan memandangkan pelbagai usaha dan rundingan antara pihak kerajaan dengan wakil kumpulan terbabit termasuk perancangan kerajaan membina litar khusus untuk mereka masih belum berhasil.
“Kita akan pastikan insiden pada raya pertama (operasi menangkap lebih 100 mat rempit) tidak berulang.
“Minggu depan saya panggil ‘bos-bos’ mereka untuk beri kata dua. Kita nak mereka beri jaminan kepada kita dan pastikan insiden yang berlaku pada hari raya pertama tidak berulang,” tegasnya.
Menteri Besar turut tidak menolak kemungkinan kerajaan negeri membatalkan pembinaan litar khas untuk mat rempit itu jika usaha ‘memulihkan’ mereka gagal.
Dalam operasi di sekitar daerah ini tempoh hari, seramai 120 mat rempit ditahan kerana pelbagai kesalahan jalan raya manakala 25 buah motosikal disita.
Kes terbaharu awal pagi ini, 70 lagi mat rempit berjaya ditahan dalam operasi di Jalan Kuala Berang dekat Tun Telanai yang dilakukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu
TAG