POLITIK TERENGGANU PANAS AWAL MINGGU INI - PERMAINAN NAKAL 17 -15 3

Nama ADUN Permaisuri, Dato’ Mohd Jidin Shafee memanaskan suhu politik Terengganu dan menjadi sebutan di media sosial sejak dua minggu lalu.

Ketua UMNO Bahagian Setiu itu diviralkan oleh beberapa blog dan facebook sebagai calon Menteri Besar Terengganu yang baharu menggantikan Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman pada September ini.

Turut disensasikan dalam pelbagai versi, akan berlaku pembubaran DUN Terengganu dan pilihan raya negeri. 

Kemuncak ‘ramalan’ itu menyaksikan Mohd Jidin mengambil alih pentadbiran Tingkat 16 di Wisma Darul Iman.

Apa tujuannya dan apa sebabnya tidak dinyatakan. Berikut komen Mohd Jidin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri mengenai situasi tersebut :

“Saya tidak nampak pun bahawa kita 17 orang (ADUN BN Terengganu) ini berpecah. Yang pertamanya kita telah pun membuat sumpah setia di peringkat awal lagi iaitu selepas menang pilihan raya (PRU 13) seperti mana dibuat di peringkat Parlimen. Hanya Terengganu sahaja yang buat di peringkat negeri”. 

“Dengan sumpah setia tersebut, saya memegang bahawa prinsip kita kesetiaan. Jaminan kita ialah 17 orang wakil rakyat (BN) di Terengganu mesti bekerjasama dan kita telah pun bekerjasama”. 

“Dan kita tidak pernah melihat kepada perkara yang negatif. Sebab itu beberapa isu yang diviralkan (sebelum ini) kita tidak menjawab. Kita tidak mengambil apa-apa jawapan sebabnya kita lebih mementingkan perpaduan”.

Menjawab soalan media, tambah Mohd Jidin :

“Setakat ini yang saya buat risikan sebagai tugas saya (Pengerusi Jawatankuasa War Room UMNO Negeri) saya tidak nampak pun (ADUN akan meletak jawatan). Taat setia beri kekuatan melainkan mereka mati, bankrap atau bersabit mana-mana undang-undang yang (membolehkan) gugur menjadi wakil rakyat” 


Mohd Jidin berkata demikian selepas ditanya media pada Majlis Berbuka Puasa Daerah Setiu di Sungai Tarom, Permaisuri petang semalam. Turut hadir pada majlis itu, Ahmad Razif dan semua ADUN di Parlimen Setiu.

- Terengganu Daily
TAG