Kerajaan Terengganu Sedia Labur dalam LPT 3

Terengganu sedia menangguhkan bayaran balik wang dana khas berjumlah RM1.8 bilion yang digunakan untuk menyiapkan Projek Lebuhraya Pantai Timur (LPT) fasa 2 sekiranya Kerajaan Pusat bersetuju untuk menyerahkan projek sambungan lebuh raya itu bagi fasa 3 kepada kerajaan negeri. 
Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata projek LPT 3 yang akan menghubungkan Gemuroh ke Besut dijangka menelan belanja hampir sama dengan nilaian itu iaitu RM1.8 bilion.
Katanya, jika projek LPT 3 diserahkan kepada Terengganu, ini merupakan satu pelaburan besar, semua akan mendapat manfaat, lebih-lebih lagi kepada rakyat.
“Jika sebaliknya, kerajaan negeri akan berusaha mendapatkan kembali peruntukan itu, walaupun secara ansuran,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Jamuan Aidifitri Polis Diraja Malaysia, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, Kuala Terengganu, hari ini.
Hadir sama, Ketua Polis Negeri, Dato’ Rosli Ab Rahman. 
20150811_144709
Ahmad Razif memberitahu, kerajaan negeri sedang berunding dengan Kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan sekurang-kurangnya 40 peratus hasil saham pengurusan yang dikendali syarikat konsesi Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) Berhad.
“LPT 2 yang sebelum ini dikendalikan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), akan diuruskan oleh PLUS mulai bulan depan atau selewat-lewatnya Disember ini.
“Kemudahan sepanjang 184 kilometer itu dibuka sepenuhnya pada 31 Dis tahun lepas, yang membolehkan perjalanan dari Kuala Terengganu-Kuala Lumpur disingkatkan kepada empat jam,” katanya.
Katanya, selepas ini segala kos untuk membaik pulih LPT 2, akan dikeluarkan PLUS
“Hentian Rehat dan Rawat, gerai dan stesen minyak di sepanjang lebuh raya itu akan mula dibuka selepas bermulanya operasi PLUS,” katanya.
TAG