Isu Banggol Donas : Proses Pengambilan Ikut Syarat, Saluran Yang Betul


Proses pengambilan tanah di Kampung Banggol Donas, Kuala Nerus adalah mengikut syarat dan tidak sepatutnya dijadikan isu sehingga menimbulkan perpecahan di kalangan masyarakat setempat.

Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Dato’ Mohd Akil Mat berkata sebelum membuat keputusan pengambilan tanah itu, pihak berwajib  telah menggunakan saluran dan proses yang betul bagi mengelak masalah di kemudian hari.

“Kita mengikut syarat-syarat yang ditetapkan bagi proses pengambilan tanah untuk menyiapkan projek lebuh raya ini.

“Yang menjadi masalah sekarang apabila ada di antara mereka yang tidak mahu beredar dari tanah yang kini telah menjadi milik kerajaan setelah borang K diserahkan kepada pemilik asal tanah terbabit,” katanya.

Beliau ditemui ketika sidang media Majlis Penerangan Isu Pengambilan Balik Tanah Projek Jalan Kampung Banggol Donas.

Turut hadir Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Terengganu, Mohamad Nor Ibrahim, Timbalan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Mas Abdul Rahman Mas Mohamad dan Pegawai Pembangunan Kuala Nerus, Dato’ Basir Ismail.

Tambahnya lagi, sejumlah duit pampasan pengambilan tanah berkenaan juga sudah diserahkan kepada semua penduduk yang terlibat.

“Kita telahpun menyerahkan semua wang pampasan dan mereka yang berdegil ini juga kita telah serahkan tetapi kepada mahkamah dan mereka boleh membuat tuntutan di situ (mahkamah).

“Semasa menghantar borang K, kita telah menggunakan pihak polis sebagai pengiring kerana sikap pemilik yang terlalu degil dan tidak ingin berlembut,” katanya lagi.

Sementara itu, Mas Abdul Rahman berkata berdasarkan jadual asal, pembinaan boleh disiapkan sekitar tahun 2012, bagaimanapun projek itu akhirnya tergendala disebabkan isukedegilan segelintir penduduk terbabit.

“Buat masa sekarang, projek tersebut telahpun siap sehingga 96 peratus tetapi tetap tidak dapat diteruskan sehingga semua ini selesai sepenuhnya,” katanya.

Menurutnya, dengan kelewatan tersebut, kerajaan terpaksa menanggung kerugian sehingga RM7 juta.

Katanya, kemudahan lebuh raya itu mampu mengurangkan kesesakan trafik khususnya kepada pengguna di Jambatan Sultan Mahmud yang semakin meruncing.

Isu itu menjadi viral di laman media sosial berikutan keengganan beberapa penduduk termasuk Salleh Embong, untuk mengosongkan rumah dan  tanah di Kampung Banggol Donas selepas mendakwa kerajaan bertindak zalim merampas tanah miliknya bersama empat yang lain untuk tujuan pembangunan yang juga dikatakan akan `melenyapkan’ kampung warisan itu.

Pembangunan yang tertangguh sejak 7 tahun yang lalu akibat kedegilan mereka yang tinggal di jajaran jalan yang diwartakan sebagai jalan raya menghubungkan bandar Kuala Terengganu dengan susur keluar ke Lebuh Raya Pantai Timur.
Projek jajaran jalan yang bermula pada 2008 dan dijangka siap empat tahun kemudian melibatkan puluhan buah rumah dan 22 daripadanya adalah di Kampung Banggol Donas  berkenaan.