Gantung 5 Tahun Full Stop

aliddin

KUALA LUMPUR – “Kalau saya, saya akan gantung dia 3 tahun atau 5 tahun, sebab apa yang dia cakap itu melemahkan UMNO, ” kata Setiausaha UMNO Bahagian Sipitang, Aliddin Ahmad.

Beliau menyifatkan tindakan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu, menunjukkan kelemahan Bekas Timbalan Perdana Menteri itu sendiri.

“Saya ada baca ucapannya secara ‘detail’. Sepatutnya sebagai Timbalan Presiden, dia perlu semak berkaitan dengan isu-isu 1MDB, di pejabat 1MDB.  Malah, isu berkaitan dengan RM2.6 juta itu juga tidak perlu menjadi isu.

“Apa yang PM dilakukan adalah satu kebaikanlah untuk kita, jadi itu tidak ada masalah. Bagi saya Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden UMNO dan sebagai ahli UMNO memang tidak wajar dia buat begitu. Tindakan keras perlu diambil terhadapnya dan beberapa orang lagi (Tun Mahathir, Shafie Apdal),”katanya ketika ditemui di perkarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Menurutnya lagi, tindakan itu menampakkan perkara itu sebagai isu yang besar sedangkan semua isu-isu itu sudah dijawab.

“Apalagi yang mereka mahu, sudah dijawab PM oleh TPM dan menteri-menteri lain juga sudah jawab. Tapi dia (Muhyiddin) masih lagi tidak mahu menerima apa yang telah disampaikan oleh PM dan TPM. Jadi perkara itu harus diambil tindakan sebelum sebarang perkara berlaku. Dia (Muhyiddin) ada di dalam pun menyusahkan kita juga,”katanya.-SuaraTV