Kerajaan Terengganu Beri Kata Dua Kepada PBSNT


KUALA TERENGGANU, 12 Jan (Bernama) -- Kerajaan Terengganu memberi kata dua kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) agar skuad bola sepak negeri itu beraksi cemerlang pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia negeri Datuk Rozi Mamat berkata sekiranya pasukan Terengganu gagal menyerlah pada saingan itu, mereka bakal kehilangan peruntukan daripada kerajaan negeri pada masa depan.

Katanya pelaburan kerajaan negeri terhadap skuad Terengganu dan pasukan kelab dari negeri berkenaan, T-Team bagi mengharungi Liga M cukup besar mencecah puluhan juta ringgit.

Beliau menegaskan harapan itu juga sebagai amaran kerana kerajaan negeri mahu melihat pasukan itu mengungguli salah satu piala yang dipertandingkan dalam saingan Liga M 2016.

"Pasukan Terengganu sudah banyak tahun gagal menjulang piala selepas muncul juara Piala Malaysia 2001," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Rozi berkata PBSNT telah memohon sebanyak RM20 juta daripada kerajaan negeri untuk pengurusan pasukan Terengganu dan T-Team musim ini.

"Peringatan ini juga supaya PBSNT bertanggungjawab bagi mengelak bantuan ditarik balik pada masa depan jika mereka gagal memartabatkan imej bola sepak negeri ini," katanya.

Rozi berkata Terengganu Inn mungkin menjadi antara penaja utama pasukan Terengganu untuk Liga M tahun ini, namun jumlah penajaan belum diketahui setakat ini.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri bersetuju menubuhkan sebuah yayasan sukan bagi menempatkan semua sumbangan atau penajaan untuk sukan berkuda, berbasikal, bola sepak, hoki dan sukan-sukan lain di Terengganu.

Beliau berkata sumbangan itu akan diletakkan di bawah satu tabung pembiayaan yang akan dilancarkan Menteri Besar Datuk Seri Abdul Razif Abd Rahman pertengahan tahun ini.

Rozi berkata dengan adanya tabung berkenaan, pengagihan bantuan kepada badan-badan sukan di negeri ini, akan lebih sempurna pada masa depan.

-- BERNAMA