Memang PAS Pernah Mengkafirkan UMNO – Hasbie Muda

Ketua Pemuda Amanah Terengganu, Mohd Hasbie Muda mengakui bahawa amalan mengkafirkan penyokong UMNO memang wujud walaupun ‘ajaran sesat’ itu sering dinafikan oleh kepimpinan PAS.
 Beliau yang juga bekas Pengarah Pendidikan Politik Pemuda PAS Malaysia berkata, perkara itu sengaja dibiarkan berpanjangan dalam masyarakat oleh kepimpinan PAS hanya kerana mahu menang dalam pilihan raya.
 “Apa dia benda yang tidak selesai lagi dalam negeri kita ini. Bila kita nak menang (pilihan raya), parti lama (PAS) kata kepada UMNO ini kafir. Saya sebut betul, terus terang saya sebut.
 “Sepatutnya, kita perlu rasa bersalah dalam soal ini. Tapi, kita rasa remeh, ini kes terpencil. Kita tak pandang berat benda itu. Tetapi bila kena kepada kita sendiri, bila kawan-kawan kita (PAS) kata kita (Amanah) munafik, bila nak bersalam lari tangan, bila nak jumpa lari muka, baru kita sedar apa yang kita buat selama ini, yang kata UMNO kafir ini benda yang salah,” katanya.
 Mohd Hasbie mendedahkan perkara ini dalam ceramahnya di Taman Murni Perdana, Paka, Dungun, Jumaat lalu.
 Turut serta dalam ceramah itu Ahli Parlimen Kota Raja yang juga Ketua Wanita Amanah Negara, Dr. Siti Mariah Mahmud; Pengerusi Amanah Kelantan, Dato’ Wan Abdul Rahi Wan Abdullah; ADUN Bandar yang juga Pengerusi PKR Negeri, Azan Ismail; Pengerusi DAP Negeri, Ng Chai Hing; Pengerusi Amanah Dungun, Zulkifli Ali dan bekas ADUN PAS Bukit Besi, Ustaz Roslan Ismail.


TAG