Pemain Bukan Haiwan Ternakan - TMJ

Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberi peringatan kepada persatuan bola sepak tempatan supaya menyelesaikan hutang seperti gaji pemain dan staf disebalik fenomena penajaan baru-baru ini.
Menurut kenyataan laman Facebook rasmi, Johor Southern Tigers, Tunku Ismail menyifatkan kemunculan hartawan dan jutawan seperti Dato' Vida memberi impak dalam pembangunan bola sepak namun baginda juga memberi peringatan bahawa isu-isu sedia ada perlu diberi kepentingan dan diselesaikan secepat mungkin.

"Kehadiran ramai hartawan dan jutawan yang ingin memberi tajaan kepada pasukan/ kelab bola sepak akhir-akhir ini menunjukkan satu perkara yang positif terhadap sukan bola sepak. 

"Semua pasukan dilihat begitu ghairah mendapatkan tajaan daripada mereka untuk memantapkan pasukan. Tetapi, saya mengharapkan agar pihak pengurusan tidak melupakan keutamaan dalam membayar balik hutang sedia ada.

"Saya sebagai Penaung Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Malaysia, tahu berapa ramai pemain dan dari pasukan mana yang masih belum dibayar gaji," kata Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ).

Tunku Ismail turut memberi teguran kepada pasukan terbabit supaya tidak melupakan usaha yang diberi oleh para pemain dan jurulatih kepada setiap persatuan.

"Usahlah terlalu mengejarkan trofi semata-mata sehingga melupakan perkara yang lebih penting.

"Pemain dan jurulatih bola sepak mempunyai keluarga untuk disara. Mereka ini manusia, bukan ternakan. Utamakan dulu nasib mereka daripada terlalu sibuk dengan trofi yang hendak diraih." tambahnya.

Bola sepak negara ketika ini diwarnai dengan keghairahan penajaan syarikat kosmetik terkemuka dimulakan dengan Kelantan yang memperoleh suntikan daripada Vida Beauty Sdn Bhd iaitu pengeluar produk Qu Puteh, dianggarkan RM20 juta.
TAG