Sarawak TIDAK Perlu Calon Serius

SRI AMAN - Pengundi Sarawak tidak memerlukan calon yang olok-olok dan tidak serius dalam membawa agenda pembangunan kepada rakyat negeri ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, rakyat memerlukan calon dan pemimpin yang berkebolehan serta berkaliber bagi membentuk kerajaan dan menguruskan pentadbiran negeri.

"Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ini serius, perlukan calon yang bersedia untuk berkhidmat kepada rakyat, bukan yang tengah malam tiba-tiba hilang," katanya ketika berucap di Rumah Panjang Faizal Anak Edmund Minit, Engkeramut, kira-kira 40km dari sini hari ini.

"Jika ingin tubuhkan kerajaan, kita mesti letak calon yang serius, bukan olok-olok, bukan main-main," katanya.

Turut hadir, calon BN bagi kawasan Dun Bukit Begunan yang juga penyandang kerusi berkenaan, Datuk Mong Dagang.

Beliau akan ditentang calon PKR, Jubri Atak.

Najib sebelum itu mengharungi perjalanan kira-kira 40 minit menggunakan jalan darat dengan hujan lebat dan jalan licin, selepas selesai hadir pada majlis ramah mesra di Rumah Panjang Jegai Anak Jawa, Kampung Purai, sebuah perkampungan masyarakat Iban.

Pada majlis itu, Perdana Menteri meminta pengundi di Sarawak, khususnya di Sri Aman, supaya bijak menggunakan hak dan memilih BN di bawah kepimpinan Ketua Menteri ,Tan Sri Adenan Satem untuk meneruskan agenda pembangunan yang telah dirancang.

"Jadi, apabila kita berharap kepada BN, pembangunan akan terus dirancang dan Sarawak tidak akan ketinggalan dalam arus pembangunan dan Bumi Kenyalang ini akan terus aman dan makmur," katanya.

Najib turut mengumumkan peruntukan RM200,000 untuk membaik pulih dan menaik taraf tembok rumah panjang itu, yang menempatkan 253 orang.

Beliau juga mengumumkan kelulusan projek pembinaan bangunan baharu Sekolah Kebangsaan Bakong yang menempatkan lima bilik darjah dan satu makmal sains. - Bernama

TAG