"Saya Sudah Lama Maafkan Mahathir" - Hadi Awang

KUALA KANGSAR - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan beliau secara peribadi sudah pun memaafkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Abdul Hadi‎ berkata, walaupun Pas sering dituduh dengan pelbagai ‎gelaran, namun ‎sebagai seorang yang berpegang kepada prinsip Islam, beliau perlu berbuat demikian.

"Terutamanya berkenaan Hudud. Saya tahu Tun Mahathir ini telah lama dendam dengan Pas  sebab dia pernah kalah dulu dengan kita.

"Dan Tun Mahathir kata saya tak reti Islam. Saya mengaji bab Islam. Tun Mahathir, dia mengaji bab perubatan.

"Bukan saya nak hina dia (Tun Mahathir), tetapi malangnya dia tidak baca pasal Islam ini. Kita maafkan dia tidak baca. Patutnya dia bacalah. Kalau tidak baca jadi bahaya.

"Kalau Islam tak baca Islam, umur 90 tahun pun tak baligh lagi. Sangat malang," katanya ketika ceramahnya di Dataran Ketior Manong, Kuala Kangsar malam tadi.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Abdul Hadi juga berkata, tindakan Mahathir menyatakan sokongan terhadap Parti Amanah Negara (Amanah)  tidak akan menjejaskan Pas  di kerusi Parlimen Kuala Kangsar.

Abdul Hadi berkata, beliau percaya parti Islam itu mampu membuat kejutan untuk memenangi PRK di kawasan itu.

"Saya tidak bimbang. Kita lihat Pilihan Raya Kecil (Kuala Kangsar) jadi penentu," katanya ringkas kepada pemberita.

Mahathir sebelum ini merayu kepada pengundi di Kuala Langsar supaya memberikan undi mereka kepada calon Amanah, Profesor Dr Ahmad Termizi Ramli.

PRK Kuala Kangsar akan menyaksikan  pertandingan empat penjuru dimana Dr Najihatussalehah Ahmad calon Pas akan ditentang oleh Datin Mastura Mohd Yazid dari BN ,Naib Ketua Amanah kawasan Kuala Kangsar Prof Dr Ahmad Termizi Ramli (Amanah) dan Izat Bukhary Ismail Bukhary (Bebas).

PRK Parlimen Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian Wan Mohammad Khair-il Anuar yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei

lepas. ‎

Sebanyak 32,949 orang layak mengundi pada PRK itu mengikut daftar pemilih yang didaftarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga 7 Mei lepas.

Pengundian PRK Kuala Kangsar diadakan pada 18 Jun ini.
TAG