Kes Tetak Bunyi HON : Abang Di Tahan Adik Di Buru

Kuala Terengganu: Polis menahan dua lelaki termasuk abang kepada pemandu Perodua Kancil yang dipercayai terbabit dalam kes tetak pemandu Honda City di Jalan Buluh Gading di sini, Khamis lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman berkata, lelaki berusia 39 yang juga pemilik Perodua Kancil itu ditahan di rumahnya di Kampung Kubang Jela, Manir kira-kira 7 pagi semalam.

"Selain itu, lelaki berusia 30 tahun yang berada bersama pemandu ketika kejadian turut ditahan bagi membantu siasatan.

"Suspek yang berasal dari Kampung Kubang Jela, Manir ditahan di sekitar kawasan Manir 2.30 pagi pada Sabtu lalu.
Sementara itu, usaha mengesan pemandu Perodua Kancil terbabit, M Suhaimi Mohd, 31, atau lebih dikenali sebagai Kemik masih giat dijalankan.

“Suspek dipercayai masih berada di daerah ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, di sini.

Khamis lalu, seorang lelaki terpaksa dikejarkan ke hospital apabila ditetak dengan parang oleh lelaki tidak dikenali selepas membunyikan hon kepada lelaki yang memotong keretanya di Jalan Buluh Gading.

Kejadian berlaku ketika mangsa berusia 42 tahun yang memandu Honda City bersama isteri dan dua anaknya terkandas dalam kesesakan jalan raya ketika dalam perjalanan untuk beraya dari Kemaman ke Besut 3.30 petang.
- HMetro
TAG