PAS Cari Publisiti Murahan Katanya DAP - Malaysiakini

Pemuda DAP menempelak Pemuda PAS kerana mengejar publisiti murahan ekoran bantahan penganjuran konsert Selena Gomez pada saat-saat akhir.
Konsert 'Selena Gomez The Revival Tour' itu dijadualkan berlangsung pada 25 Julai ini di Stadium Malawati, Shah Alam.
Setiausaha Eksekutif Pemuda DAP, Muhammad Shakir Ameer berkata, sayap pemuda parti Islam itu tidak perlu mencampuri dalam kehidupan peribadi rakyat Malaysia.
"Ini kerana pergi ke konsert tidak akan menjejaskan kepercayaan keagamaan seseorang.
"Pemuda PAS perlu mengakui rakyat Malaysia mampu berfikir dan menilai diri sendiri dalam sebarang bentuk hiburan. Seseorang tidak akan hilang kepercayaan keagamaan hanya dengan menghadiri konsert.
"Justeru, tidak ada keperluan untuk Pemuda PAS campur tangan dalam hal peribadi rakyat Malaysia. Dan perlu menghormatinya," ujar beliau dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, Pengerusi Lajnah Dakwah Pemuda PAS, Hafez Sabri menyuarakan bantahan terhadap penganjuran konsert penyanyi, Selena Gomez yang dianggap mencemarkan kemuliaan Syawal.
“Kemunculan artis kelahiran Amerika yang sinonim dengan penampilan seksi itu dianggap mencemarkan kemuliaan Syawal yang masih diraikan dengan penuh kesyukuran dan keinsafan oleh umat Islam.
“Kedatangan Selena Gomez dianggap menghidupkan budaya hedonisme dalam kalangan generasi muda di negara ini,” jelas Hafez dalam kenyataan.
Turut sama membantah ialah Muslimat PAS yang menegaskan pihaknya tidak menolak seni dan hiburan tetapi biarlah yang berbentuk membina dan bukan meruntuhkan akhlak anak bangsa.
Pengerusi Lajnah Kesenian dan Kebudayaan Muslimat PAS, Fauziah Bidin berkata: "Sedang seluruh umat Islam merayakan bulan kemenangan Syawal yang mulia, kita diusik lagi ada pihak yang mahu mencemar kemeriahan Syawal.
"Sejak 1957, kita semua tidak mahu sebarang bentuk idealogi atau minda penjajah masuk ke negara ini sama ada melalui hiburan mahupun budaya," kata Fauziah dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Pemuda PAS sepatutnya membantah kelulusan diberikan oleh Kementerian Dalam Negeri dan bukannya sekadar membuat bantahan pada saat-saat terakhir setelah banyak tiket telah dijual dan ribuan ringgit dibelanjakan oleh penganjur untuk konsert, tambahnya.