ELLA Akui Mula Bertudung Sejak PUASA Lalu


Ella bertudung

KUALA LUMPUR – Ratu rock negara, Ella, 50, mengesahkan dirinya sudah tampil bertudung sejak Ramadan lalu.

Pengakuan berhubung penghijrahannya itu menjawab segala teka-teki mengenai imej penyanyi wanita terkenal ini apabila beliau mula memuatnaik gambar dirinya bertudung ke laman sosial sejak bulan puasa, baru-baru ini.

“Saya mula bertudung sejak Ramadan lalu. Alhamdulillah, saya juga berasa lebih tenang kini. Malah, suami (Azhar Husaini Ghazali) juga gembira dengan perubahan ini,” kata Ella.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran program realiti, Lara Oh Lara, di sini semalam.

Ella menyanyikan lagu tema berjudul Permata bagi program dibintangi Lara Alana yang juga anak pasangan selebriti, Awal Ashaari dan Scha Alyahya itu.

Menggemari gaya tudung kakaknya, Jojie, Ella berkata beliau mendapat maklum balas cukup positif di laman sosial terhadap imej baharu terbabit.

“Ramai peminat dan pengikut di Instagram memuji saya. Apa pun, saya masih Ella yang dulu. Bagaimanapun sebagai manusia biasa, saya cuba memperbaiki apa yang kurang,” katanya.

Ella dalam perkembangan lain turut memberitahu dirinya akan muncul dengan album baharu, sekitar hujung tahun ini.

Permata ialah antara lagu yang akan dimuatkan dalam album terkininya itu. – BH
TAG