Umno sedia rampas kerusi Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU – Pemimpin Umno Bahagian Kuala Terengganu mengingatkan ahlinya tidak hanya menuturkan kemenangan di mulut sebaliknya bergerak segera melakukan kerja ke arah kemenangan menjelang PRU14.
Ketuanya, Datuk Mohd Sabri Alwi berkata, walaupun BN bertapak di Terengganu ketika ini, ahli Umno perlu menyedari BN gagal peroleh sebarang kerusi pada PRU lepas di parlimen itu.
Sehubungan itu katanya, apa yang dinikmati di bahagian Kuala Terengganu hari ini hanyalah kerana menumpang tuah atas kejayaan BN mengekalkan kedudukan sebagai kerajaan.
“Semua kita nak menang tapi kalau hendak menang kenalah kerja. Bukan sebut (menang) sampai mulut berbuih tetapi kerja tak buat.
“Kerja untuk Umno ini tidak ada balasan apa pun. Kita sertakan keikhlasan kita untuk kerja kepada parti yang kita sayang. Kerana parti Umno ini sahajalah yang akan membela orang Melayu kita, orang Islam kita, negara kita,” katanya ketika Mesyuarat Perwakilan Pemuda Umno Bahagian Kuala Terengganu, di sini.
Beliau berkata, walaupun Umno Bahagian Kuala Terengganu mengalami kekalahan teruk baru-baru ini, namun pihaknya berterima kasih kepada pucuk pimpinan kerana masih memberi kepercayaan kepada pihaknya memperbaiki keadaan pada PRU akan datang.
Ini terbukti apabila Perdana Menteri selaku Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak akan merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kuala Terengganu pada 20 Ogos 2016 di Stadium Negeri.
Beliau berkata, Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kuala Terengganu turut dirasmikan, Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Ogos tahun lalu.
Dalam masa sama, beliau turut berharap semua pihak memberi sokongan padu kepada beliau selaku Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu untuk memastikan matlamat kemenangan tercapai. - BH
TAG