Tahniah !!! Hero Malaya... Faiz Subri AWARD FIFA 2016

Pada jam 2.35 pagi ini, terpahatlah sejarah baru bola sepak Malaysia.
Tidak mengapalah Ronaldo (Luís Nazario de Lima) mengumumkan namanya sebagai “Mood” Faiz Subri.

Tidak kisahlah jika dia gemuruh sekali menggesek skrin telefon bimbitnya dalam tercari-cari teks ucapan ringkasnya sejurus diumumkan pemenang Anugerah Puskas FIFA 2016 hingga menimbulkan rasa tidak sabar hadirin.

Akhirnya, seorang anak Malaysia dinobatkan sebagai penjaring gol tercantik di dunia sepanjang 2016 – mengatasi lebih dahulu bintang dunia, Lionel Messi dan Neymar, dalam pemilihan pusingan pertama dan kesudahannya, Marlone dan Daniuska Rodriguez dalam pemilihan akhir.

Dalam majlis gilang-gemilang yang berlangsung di Zurich, ia seolah-olah Anugerah Puskas yang menjadi rebutan utama, seakan-akan menenggelami Anugerah Pemain Terbaik Lelaki FIFA 2016 yang diraih Cristiano Ronaldo.

Dua kali klip video ketiga-tiga jaringan diulang tayang, dengan pengacara Majlis Anugerah FIFA ini berkali-kali mengulangi agar peminat bola sepak di seluruh dunia terus mengundi jaringan tercantik pada penilaian mereka sehinggalah debaran yang memuncak, berakhir tepat jam 2.35 pagi waktu tempatan.

Demikianlah kesudahannya… realiti menuruti persepsi pada ketika ramai – daripada pemain ternama, penerbitan berwibawa, jumlah tontonan tertinggi di YouTube hinggalah kepada syarikat pertaruhan – mengagumi sepakan percuma lencong Faiz sebagai luar biasa.

Tiada siapa dapat menidakkan jaringannya, ketika Pulau Pinang menundukkan Pahang 4-1 dalam perlawanan Liga Super pada 16 Februari 2016, adalah yang paling cantik antara tiga calon pemilihan akhir itu, di sebalik ia satu perkara subjektif, tapi kata pemutus adalah pada tangan peminat yang mengundi – satu kelebihan yang tidak semestinya memihak Faiz. 

Bukan dari kalangan pemain Eropah mahupun Amerika Selatan – sebaliknya dari benua Asia yang kali pertama tercalon ke peringkat akhir anugerah berkenaan – dia sememangnya tidak banyak berkelebihan.

Dibandingkan dengan kedudukan kerdil Malaysia di tangga ke-174 dalam ranking dunia FIFA, bola sepak lebih menjadi ketaksuban di benua Amerika Selatan – yang di sesetengah negara mengagungkannya sebagai yang kedua selepas agama anutan mereka.

Dihimpit masalah ekonomi sekalipun, peminat bola sepak mereka sanggup bergadai untuk berkembara menyokong pasukan kebangsaan mereka, apatah lagi untuk melakukan kerja semudah mengundi secara percuma yang pastinya dilakukan mereka secara beramai-ramai.

Dengan dua pencabar Faiz adalah dari benua Amerika Selatan – Marlone dari Brazil dan Daniuska Rodriguez dari Venezuela – awalnya dikhuatiri undian akan lebih menyebelahi kedua-duanya dengan undian peminat diandaikan lebih terdorong kepada sentimen kebenuaan selain tradisi kegemilangan bola sepak yang lebih memihak Amerika Selatan mahupun Eropah dibandingkan dengan Asia.

Ditambah hakikat belum pernah ada pemenang wanita bagi anugerah berkenaan sebelumnya, itu juga menambah kepada ‘kekurangan’ Faiz yang  barangkali mungkin menjadi mangsa keadaan.

Kesudahannya, jaringan tercantik yang persis satu keajaiban tetap diperakui jua tanpa mengira dari pelosok mana datangnya dia.

Ketika Wendell Lira menang tahun lalu, siapakah yang menduduki tangga kedua dan ketiga? Begitu juga ketika Zlatan Ibrahimovic (2013), James Rodriguez (2014) masing-masing menang pada 2013 dan 2014, tiada siapa yang mengingati siapakah finalis-finalisnya.

Semua kebimbangan seperti itu tidak pun perlu, dengan Faiz kini mengukir nama seiring dengan Cristiano Ronaldo (2009), Hamid Altintop (2010), Neymar (2011), Miroslav Stoch (2012), Zlatan Ibrahimovic (2013), James Rodriguez (2014) dan Wendell Lira (2015) untuk berbangga dengan Anugerah Puskas.

Mendahului dan mengakhiri ucapan ringkasnya dengan salam, tiada kerdilnya Faiz di celah-celah nama besar bola sepak dunia di majlis gilang-gemilang itu untuk Malaysia tumpang berbangga.
TAG