Penoreh GETAH Mengeluh, Hasil Torehan Di Curi

Penoreh mengeluh hasil getah dicuri selepas harga meningkat
Penoreh getah rimas dengan masalah kecurian hasil getah mereka. - Gambar fail
KUALA NERANG: Khabar gembira tentang kenaikan harga getah yang mencecah RM4.80 sekilogram ketika ini bagaimanapun mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penoreh apabila getah beku menjadi sasaran curi penagih dadah.

Lebih daripada 500 pemilik ladang dan penoreh mengharapkan campur tangan pihak berkuasa kerana kes kecurian getah beku kian berleluasa di kawasan yang diusahakan mereka.

Menurut Mohd Khairul Nizan Ahmad dari dari Felda Bukit Ketapang, Kuala Nerang, setiap hari beliau mengalami kerugian apabila 70 daripada 80 kilogram getah beku hilang akibat dicuri pihak yang tidak bertanggungjawab.

Kegiatan mencuri getah beku kian menjadi-jadi sejak peningkatan harga getah dipasaran berbanding sebelum ini hanya RM2.

“Kita nak bertindak seorang tu tak boleh. Kadang-kadang perompak ni dia agresi Bahayalah, kadang-kadang ada yang bawa pis,” keluh Mohd Khairul Nizan.

Kebiasaannya, hasil getah beku akan dikutip pada sebelah petang sebelum ia dijual kepada peraih.

Paling mengecewakan, setiap kali apabila penoreh datang ke kebun untuk mengumpulkan getah yang sepatutnya berada di dalam bekas, mereka dapati isinya sudah tiada.

“Mereka (pencuri) datang meronda dulu pada sebelah siang. Kemudian mereka tinjau lagi pada sebelah petang. Setelah itu, pada waktu malam, mereka curi.
“Kemudian kalau getah skrap (keping) banyak, kena tunggulah. Ada yang sudah potong sebelah pagi, malam pula mereka curi. Adakalanya susu getah belum sempat kering,” luah seorang penoreh, Abdul Wahab Yaakob.

Lebih menyakitkan hati, ada antara pencuri getah itu yang berjaya ditangkap namun apabila diserahkan kepada pihak berkuasa, tiada tindakan diambil dan kemudiannya dibebaskan

“Setiap kali tangkapan yang dibuat itu tidak disertai bukti skrap ada bersama mereka, pihak polis kata kita tidak boleh dakwa,” ujar Pengerusi JKKK Kampung Kubang Palas, Azhar Ahmad.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Terap, DSP Ahmad Nasir Jaafar memaklumkan pihaknya memandang serius berkaitan isu kecurian getah di Daerah Padang Terap ketika ini.

Kini beliau telah mengarahkan anggotanya mempertingkatkan rondaan di kawasan-kawasan berisiko berlaku kecurian