Apakah Yang Dimaksudkan RIG TO REEF

PEMBANGUNAN TUKUN TIRUAN DARIPADA PELANTAR MINYAK TERPAKAI DI NEGERI SARAWAK (RIG TO REEF)

‘Rig to Reef’ ialah satu konsep dimana pelantar minyak terpakai yang telah dinyahtauliah kemudiannya dilabuhkan menjadi tukun tiruan dengan mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan bagi memastikan ia selamat untuk hidupan marin.

Objektif pembangunan tukun tiruan negara adalah untuk :
• Mewujudkan suatu ekosistem yang berfungsi sebagai satu santuari.
• Menyediakan kawasan pembiakan dan nurseri untuk ikan dan hidupan marin.
• Memulih dan melindungi habitat marin yang musnah akibat aktiviti manusia dan bencana alam.

Faedah yang diperoleh melalui pembangunan tukun tiruan ini adalah:

• Memulihara dan meningkatkan sumber perikanan.
• Menghalang dan mengawal aktiviti penangkapan ikan menggunakan pukat tunda di pesisiran pantai.
• Mewujudkan benteng penghalang ombak/arus bagi mengawal hakisan pantai.
 • Melaksanakan kajian dan penyelidikan saintifik ke atas ekosistem tukun tiruan.
• Mewujudkan kawasan agropelancongan untuk aktiviti perikanan rekreasi dan selam skuba.

Projek seumpana ini telah lama dijalankan di luar negara seperti di Teluk Mexico, Amerika Syarikat.

Sejak 1980, lebih 100 pelantar minyak yang dinyahtauliah telah dibangunkan menjadi tukun tiruan. Di Brunei, sebanyak tujuh pelantar minyak terpakai telah dibangunkan menjadi tukun tiruan sejak 1988.

Projek Rig to Reef pertama di Malaysia telah dilaksanakan pada 16 November 2004 apabila pelantar minyak terpakai yang dinyahtauliah telah dilabuhkan di perairan Baram dan dinamakan sebagai Rig to Reef Baram-8 (BA-8).

Projek ini melibatkan kerjasama antara Jabatan Perikanan Laut Sarawak, PETRONAS, Lembaga Pelancongan Sarawak dan SHELL.

Pemantauan yang telah dijalankan oleh pihak penyelidik Jabatan Perikanan Malaysia mendapati tukun tiruan ini telah menjadi habitat kepada pelbagai spesies ikan dan menjadi suatu kawasan rekreasi perikanan yang menarik terutamanya bagi penyelam skuba.

MEMORANDUM PERSEFAHAMAN KERJASAMA PROGRAM PEMBANGUNAN
TUKUN TIRUAN DARIPADA STRUKTUR PELANTAR MINYAK DINYAHTAULIAH
(RIG TO REEF)

Perbincangan awal bagi mengadakan kerjasama pembangunan tukun tiruan daripada struktur pelantar minyak dinyahtauliah ini telah bermula sejak 22 Disember 2014 di Pejabat Perikanan Negeri Johor.

Dalam perbincangan ini, pihak PETRONAS telah memberi cadangan untuk menyerahkan pelantar minyak dinyahtauliah ini kepada Jabatan Perikanan Malaysia untuk dijadikan tukun tiruan.

Selepas itu, beberapa siri perbincangan telah diadakan yang akhirnya mencapai persetujuan untuk mewujudkan satu Memorandum Persefahaman (MoU) dan Surat Perjanjian Akuan Penyerahan bagi menjelaskan maksud kerjasama pembangunan Tukun Tiruan Rig To Reef(R2R).

Pada 6 April 2017, klausa-klausa dalam Memorandum Persefahaman telah berjaya dimuktamadkan dengan persetujuan kedua-dua belah pihak iaitu Jabatan Perikanan Malaysia dan PETRONAS.


Dengan rasa penuh kesyukuran, Projek R2R ini dapat direalisasikan dengan termetrainya Memorandum Persefahaman yang ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak.





TAG