Pas tidak Menolak Kerjasama dengan UMNO


Pas tidak menolak kemungkinan menjalinkan kerjasama atau tahaluf siyasi dengan UMNO pada masa depan.

Mursyidul Amnya, Hashim Jasin berkata, ini kerana parti itu sentiasa bersikap terbuka dalam rundingan dengan mana-mana pihak namun meletakkan syarat kerjasama berkenaan kelak mesti dipimpin oleh Islam.

Menurut beliau, dalam soal itu, pendirian serta sokongan yang ditunjukkan UMNO terhadap isu membabitkan umat Islam sekali gus memungkinkan wujud kerjasama sedemikian dengan parti itu.

“Kalau kita tengok, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet turut menggunakan beberapa istilah Islam serta kata-kata yang pernah diucapkan bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Dr. Haron Din yang disiarkan di seluruh negara,” katanya.

Hashim ditemui pemberita selepas melancarkan Jentera Pilihan Raya Pas Kawasan Kepala Batas di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hashim berkata, terlerainya tahaluf siyasi dengan PKR bukan bermakna perjuangan parti itu akan ter­halang, sebaliknya akan membuka ruang serta peluang kepada Pas untuk mewujudkan kerjasama baharu.

Sebagai contoh, kata beliau, Pas ketika ini menjalin kerjasama dengan Parti Cinta Malaysia (PCM) yang menunjukkan minat terhadap parti itu selain Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan).

“Kita bersedia bertahaluf siyasi bukan sahaja dengan UMNO tetapi dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain termasuk PCM yang menunjukkan minat,” katanya.