Arnab Disangka Kucing Dijual di Bazar Ramadhan

Gambar arnab panggang yang dijual di bazar Ramadan Guntong Luar Setiu, Terengganu menjadi tular di laman sosial. 
Seorang pembeli yang menggunakan pengenalan diri Long Kuning di Facebook telah memuat naik beberapa keping gambar makanan eksotik tersebut.
Bagaimanapun, netizen mula menyuarakan rasa tidak senang dengan gambar terbabit yang disifatkan menyerupai kucing panggang.
Sehubungan itu pemiliknya, Mohd Ebbie Shafiean tampil menjelaskan keadaan sebenar bahawa hidangan yang dijualnya adalah arnab panggang dan halal untuk dimakan.
“Jangan kecam ambo (saya), ambo jual arnab, barang halal, bukan barang haram,” tulisnya menerusi status di laman Facebook, semalam, seperti yang dipetik AstroGempak.
Mohd Ebbie turut menjelaskan bentuk arnab yang dijualnya lebih panjang daripada saiz asal haiwan itu kerana cara memasak dan sudut gambar diambil.
Dia turut memaklumkan disebabkan gambar tersebut menjadi tular telah membantu meningkatkan jualan arnab panggangnya.
Malah, semua stok hidangan itu telah habis dijual dan ditambah kuantiti jualan pada minggu hadapan
TAG