Lubuk Kelah Tasik Kenyir Tarikan Pelancong

 Dua lagi lubuk baharu ikan kelah bakal  dibuka berdekatan Santuari Ikan Kelah, Sungai Petang Tasik Kenyir, Jun tahun depan bagi menampung kedatangan pelancong yang meningkat untuk menikmati aktiviti bersama spises air itu.
 Timbalan Pengurus Besar (Operasi) Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa berkata dua lubuk itu iaitu Lubuk Kelah dan Lubuk Lampan yang terletak berdekatan pusat pemuliharaan dan rekreasi ikan kelah sedia ada di Lubuk Kejor.
“Dua lubuk yang diwujudkan ini bagi menampung permintaan pengunjung pada lubuk sedia ada (Lubuk Kejor) kerana pada ketika ini lubuk berkenaan kita hadkan hanya 100 pengunjung sehari.
 “Dengan kewujudan dua lubuk baharu itu kita jangka Santuari Kelah ini mampu menerima 200 lagi pelawat setiap hari untuk ke sini,” katanya kepada pemberita selepas program Kenali Kenyir 01 Bersama Media Terengganu di Tasik Kenyir di sini, baru-baru ini.
Turut hadir Pengurus Promosi dan Korporat, Bahagian Pelancongan dan Pembangunan Tasik Kenyir, Ketengah, Ahmad Fathil Abd. Ghani.
 Tengku Ahmad berkata tumpuan Ketengah ketika ini adalah pada kerja-kerja menjinakkan ikan kelah di lokasi yang telah dikenal pasti itu yang meliputi rutin memberi makan kepada hidupan air berkenaan bagi menyesuaikannya dengan kehadiran manusia.
 Katanya santuari kelah ini dibuka bermula pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari dan pengunjung terpaksa mengharungi laluan kira-kira 1.7 Kilometer untuk sampai ke santuari itu menggunakan ‘houseboat’ atau bot laju dan  setiap pengunjung dikenakan bayaran sebanyak RM10 seorang (Dewasa).
TAG