5,939 lot tanah untuk rakyat Terengganu boleh dipohon mulai hari ini – MB

Sebanyak 5,939 lot tanah kosong dalam program Skim Khas Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) yang ditawarkan untuk rakyat Terengganu boleh dimohon mulai hari ini (2 Ogos 2017) bermula jam 5 petang.

Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, bagi pemohon yang berminat dan memenuhi syarat kelayakan boleh melayari laman web https://tanahrtb.terengganu.gov.my untuk permohonan secara online.

Jumlah 5,939 lot tanah kekosongan yang ditawarkan dalam RTB adalah di Kuala Terengganu (109 lot), Kemaman (928 lot), Dungun (1332 lot), Besut (69 lot), Hulu Terengganu (34 lot) , Marang (71 lot), Setiu ( 3362 lot) dan Kuala Nerus (34 lot).

‘Pejabat Tanah dan Galian (PTG) telah mengenal pasti sebanyak 5,939 lot di setiap daerah negeri Terengganu’.

‘Untuk mereka yang cukup syarat insyaallah tiada masalah dan ada peluang untuk mendapat tanah tersebut kerana tanah dari bulan ke bulan kita akan sentiasa maklumkan bermakna hari ini kita maklum 5939 dan bulan depan mungkin akan bertambah’.

‘Kerajaan juga akan kenal pasti tanah kepunyaan di bawah pusat atau sebagainya untuk dijadikan sebagai tanah lot untuk kita agih kepada rakyat yang memerlukan’ katanya ketika di sidang media Pelancaran Skim Khas Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Tapak Rumah Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman sebentar tadi.

Hadir sama Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Dato’ Mohd Zubir Embong, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail dan Timbalan Pengarah Jabatan Tanah dan Galian (Khidmat Pengurusan) Jahani Ismail.

Ahmad Razif turut memberitahu proses setiap permohonan bergantung kepada jumlah permohonan bagi setiap kawasan lot yang dipohon.

‘Kita akan tengok kepada permohonan sebagai contoh satu lot hanya seorang sahaja yang mohon dan kita akan terus beri kepada pemohon ini kerana tiada persaingan tetapi ada juga permohonan sehingga 10,000 permohonan yang layak dan ini memerlukan proses temu duga dan memakan masa serta tidak menentu’.

‘Mana yang boleh selesai segera kita akan selesai segera bermakna 5,939 bukan kita buat pemberian one-off kerana kita akan ikut prosedurnya maksudnya diprose secepat yang mungkin maknanya kita akan permudahkan proses permohonannya’ tambahnya. – Terengganu Times
TAG