MB umum berita baik, 50% daripada 5,939 tanah untuk rakyat Terengganu 41 tahun atas

Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman mengumumkan satu lagi berita baik apabila memberitahu kerajaan negeri akan memperuntukkan 50 peratus daripada 5,939 lot tanah Skim Khas Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) akan diberikan kepada rakyat Terengganu berumur 41 tahun ke atas.

Menurutnya keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat EXCO hari ini yang bertujuan bagi membantu rakyat berumur 41 tahun dan ke atas yang layak dan masih belum memiliki tanah sendiri.

‘Hasil daripada mesyuarat EXCO hari ini saya ingin mengumumkan satu lagi berita baik kepada mereka 41 tahun ke atas iaitu akan mendapat 50 peratus daripada 5,939 lot tanah kosong manakala selebihnya 50 peratus untuk peringkat umur 21 hingga 40 tahun’.

‘Bermakna semua rakyat yang memenuhi semua syarat permohonan mereka layak untuk memohon dan insyaallah mereka akan dapat tanah yang kerajaan iklankan mulai jam 5 petang hari ini, katanya selepas Pelancaran Skim Khas Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Tapak Rumah Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman hari ini.

Sementara itu Ahmad Razif juga memberitahu bagi pemilik tanah atau rumah yang terlibat pengambilan tanah dalam Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) akan diberi tanah ganti dengan bayaran yang sewajarnya.

‘Selain itu daripada mesyuarat EXCO hari ini kerajaan bersetuju untuk mengenal pasti tanah-tanah yang perlu dibuat persediaan sebagai ganti kepada mana-mana tanah terutama kediaman yang terlibat dengan pembangunan ECRL kerana kita sudah dapat senarai kawasan yang dicadangkan untuk diambil balik oleh kerajaan pusat untuk pembangunan East Coast Rail Link’.

‘Kerajaan akan cuba menyediakan tanah ganti terutama yang melibatkan perumahan bagi memastikan mereka yang diambil tanah ini supaya mereka tinggal tidak jauh dari tapak asal’.

‘Kawasan yang terlibat masih di peringkat cadangan dan belum digazetkan dan kita akan lihat balik secara terperinci’ katanya lagi.

Beliau menambah Dana Pinjaman Perumahan Rakyat Terengganu juga akan diteruskan kembali dan bakal dimasukkan dalam Bajet 2018 dalam usaha membantu golongan yang kurang berkemampuan membina rumah mereka.

Ia selaras dengan usaha kerajaan negeri menangani 3P iaitu menangani kos sara hidup, perumahan dan pekerjaan yang diperjuangkan dalam membantu rakyat selama ini. – Terengganu Times
TAG