PAS Akan Kalah Teruk Jika Tidak Bersama Pakatan Harapan?

Seperti yang disangka, PAS tidak akan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia; parti Melayu Islam dan pribumi.
Sama ada PAS akan adakan kerjasama dengan Umno atau tidak, penyertaan PAS dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 tetap akan menghakis sokongan kepada Pakatan Harapan dan kepada PAS sendiri.
Pakatan Harapan dan PAS akan kalah dan BN akan menang. Inilah sebenarnya perjuangan PAS. Ia bukan untuk bangsa dan agama. Ia bertujuan melemahkan orang Melayu.
Sejak penubuhannya lagi hasilnya ialah untuk melemahkan politik Melayu. Di waktu Umno ditubuh, semua orang Melayu selain dari anggota Malay Nasional Party (MNP) menyertai parti itu. Orang yang berpelajaran agama semuanya menyertai Umno. Mereka dikenali sebagai ulama Umno.
Sehingga penubuhan Persatuan Kebangsaan Melayu Bersatu atau nama Inggerisnya United Malays National Organisation atau Umno, tidak ada pertubuhan yang diiktiraf sebagai parti politik orang Melayu.
Kesatuan Melayu Muda dan Parti Kebangsaan Melayu bukanlah parti politik tetapi hanyalah kumpulan-kumpulan kecil intelek Melayu yang memberi perhatian kepada beberapa masalah yang dihadapi oleh orang Melayu.
Mereka bukan gerakan massa yang memiliki ideologi tertentu dan berusaha untuk mempengaruhi sistem pemerintahan Tanah Melayu. Mereka juga tidak memberontak melawan penjajah.
Sebaliknya Umno ditubuh khusus untuk menentang cadangan British merampas Semenanjung Tanah Melayu untuk menjadikannya tanah takluk yang diperintah secara langsung oleh mereka.
Demikianlah kuatnya tentangan orang Melayu melalui Umno sehingga British terpaksa akur kepada kehendak Umno dan membatalkan Malayan Union.
Demikianlah kehormatan British kepada Umno sehingga Tunku Abdul Rahman, sebagai yang dipertua Umno diberi hak untuk melantik beberapa anggota dalam Majlis Perundangan Persekutuan (Federal Legislative Council) dan juga dalam state council negeri-negeri.
Tunku memilih individu yang berpengalaman dalam bidang pentadbiran. Kebanyakannya berpelajaran Inggeris. Hanya beberapa orang sahaja dari ulama-ulama Umno dipilih oleh Tunku.
Di waktu ini ramai dari ulama Umno pilih untuk keluar Umno dan menubuh PMIP (Pan Malayan Islamic Party).
Dengan kononnya PMIP akan perjuang Islam, ramailah anggota dan penyokong Umno terpikat. Dalam PRU untuk 52 dari 98 kerusi pada 1955, PMIP menang hanya 1 kerusi. Sebanyak 51 kerusi dimenangi oleh Perikatan (Umno, MCA dan MIC).
Dalam PRU 1959, yang pertama selepas merdeka, PMIP memperalatkan agama Islam sepenuhnya. Orang Umno dikafirkan kononnya kerana bekerjasama dengan orang kafir MCA dan MIC.
Kerjasama dengan 'kafir'
Ramai orang Melayu terpengaruh dengan dakwaan ini sehingga ada yang mengafir ibu bapa mereka sendiri. Dan ada yang berkahwin semula kerana perkahwinan mereka sebelum menjadi anggota PAS tidak sah dan anak mereka menjadi anak haram.
Tetapi PAS hanya menang 13 kerusi parlimen tahun 1959 daripada 104 yang dipertandingkan. Bagaimanapun PAS tawan Kelantan dan Terengganu.
Sejurus selepas pilihan raya, perpecahan berlaku dalam kerajaan PAS di Terengganu dan ia jatuh, diganti dengan kerajaan Perikatan.
Pada 1964 dan 1969, prestasi PAS merosot dengan memperoleh hanya sembilan kerusi pada 1964 dan 12 kerusi pada 1969.
Selepas rusuhan kaum 1969, PAS menyertai BN dan memenangi 14 kerusi.
Perpecahan berlaku dalam PAS dan parti itu keluar BN. Pada 1978, 1982 dan 1986, prestasi PAS turun semula. Ia mendapat lima kerusi pada 1978, lima kerusi pada 1982 dan hanya satu kerusi pada 1986.
Apabila Tengku Razaleigh Hamzah tubuh parti Semangat 46, PAS mengadakan pakatan dengannya. Dengan itu pada PRU 1990 dan 1995, PAS memenangi 7 kerusi tiap PRU.
Pada tahun 1999, PAS menyertai Barisan Alternatif bersama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti DAP.
Ulama PAS bekerja keras untuk menghalalkan kerjasama dengan parti kafir DAP. Mereka mengeluarkan sebuah kertas bertajuk tahaluf siyasi.
Penggunaan bahasa Arab jelas bertujuan untuk menunjuk kerjasama PAS dengan parti kafir DAP diterima oleh agama Islam. Ayat-ayat dicedok dari al-Quran yang kononnya mengizinkan kerjasama PAS dengan kafir.

Ini berlawanan dengan dakwaan PAS dahulu bahawa orang Umno menjadi kafir kerana bekerjasama dengan orang kafir MCA dan MIC.
Tahaluf siyasi hanya bermakna bekerjasama (pakatan) politik dalam bahasa Melayu atau political cooperation dalam bahasa Inggeris. Ayat-ayat al-Quran yang disebut dalam kertas tahaluf siyasi itu tidak menentukan kerjasama politik seperti itu halal atau tidak.
Semasa PAS berada dalam BN dalam PRU 1974, ia juga bekerjasama dengan orang Umno yang telah dikafirkan dan ramai parti-parti anggota BN yang dimiliki dan disertai oleh orang kafir.
Yang menjadi kenyataan, di masa PAS bekerjasama dengan DAP dalam Barisan Alternatif (PKR, PAS, DAP) kemenangan PAS bertambah kepada 27 pada 1999.
Pada tahun 2004 apabila DAP tidak menyertai Barisan Alternatif, PAS memperoleh hanya tujuh kerusi.
Kemudian pada 2008 dan 2013, apabila Pakatan Alternatif dijadikan Pakatan Rakyat dan DAP kembali menyertainya prestasi PAS meningkat semula. Pada tahun 2008 PAS memenangi 23 kerusi dan pada 2013, 21 kerusi.
Merosot bila sendirian
Yang jelas dari rekod ini ialah pencapaian PAS merosot teruk apabila bersendirian, tetapi sebaliknya apabila berpakat dengan DAP, pada 1999, 2008 dan 2013 PAS mendapat kemenangan tertinggi iaitu 27 pada 1999, 23 kerusi pada 2008 dan 21 kerusi pada 2013.
Semua ini adalah kenyataan yang benar dari rekod rasmi.
Al-Quran melarang mengkafirkan orang Islam. Sesiapa yang membuat dakwaan ini tanpa soal selidik ke atas beribu-ribu orang Islam, orang yang mengucap dua kalimah syahadah, maka kafir itu akan kembali kepadanya.
Benarlah apa yang disebut dalam al-Quran, apabila PAS bekerjasama dengan kafir DAP dan lain-lain orang kafir. Mengikut fahaman ajaran Islam oleh PAS, anggota parti itu sudah jadi kafir.
Membaca sejarah benar ini tidak akan mengubah pendirian orang PAS. Mereka begitu taksub dengan pemimpin dan parti mereka sehingga dakwaan Nik Aziz Nik Mat bahawa Tuhan mencarut pun diterima baik oleh mereka.
Mereka dipercayai membaiah kepada parti dan pemimpin mereka. Baiah ini mengikat mereka sehingga mereka sanggup membelakangkan Islam dan al-Quran.
Bahawa al-Quran melarang berpakat untuk membuat jahat, dan sebaliknya berpakat hanya untuk amal makruf tidak sedikit pun dipedulikan oleh PAS dan pemimpinnya.
Sekarang PAS akan bertanding kononnya untuk melawan Umno, tetapi sebenarnya untuk memberi kemenangan kepada Umno. Sama ada dedak terlibat atau tidak wallahu a’lam. Allah Subhanahu Wata’ala Maha Mengetahui.
Kita manusia cuma boleh teka. Yang jelas ialah apa yang baik datangnya dari Allah Subhanahu Wataala. Keburukan datang daripada kita sendiri.

Terpulanglah kepada ahli PAS sama ada mengikut ajaran Islam atau terus membaiah dan taksub kepada parti dan pemimpinnya yang berjuang untuk nafsu di dunia. - malaysiakini
TAG